Sistem Rumah merupakan pelaksanaan penempatan pelajar di bawah satu bumbung (Rumah Kediaman). Ia merupakan pendekatan ke arah memupuk semangat kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan murid yang berasal dari latar belakang sosio-ekonomi, persekitaran dan budaya yang berbeza.
Justeru Sistem Rumah akan meningkatkan jalinan kerjasama dan pembangunan darjah emosi (EQ) untuk menghasilkan murid-murid yang mempunyai jati diri, berketerampilan dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi, sebagai sumber tenaga cemerlang dan bijaksana kepada pembangunan masa depan negara.
Sistem Rumah ini juga berperanan sebagai perekayasa sosial (social reengineering) bagi melahirkan amalan budaya positif dalam kalangan murid untuk mencapai kecemerlangan modal insan seterusnya memupuk dan mengembangkan semangat kekitaan.
Di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) terdapat enam buah rumah kediaman mengikut warna seperti berikut :-
1) Rumah Kediaman Dato’ Onn (A) : Merah
2) Rumah Kediaman Halimi (B) : Biru
3) Rumah Kediaman Tan Sri Jamil Rais (C): Oren
4) Rumah Kediaman Hishamuddin (D) : Kuning
5) Rumah Kediaman Aminuddin Baki (E) : Hijau
6) Rumah Kediaman Zaaba (F) : Zaaba
Matlamat Strategik
i) melahirkan sekolah yang unik dan istimewa ‘school with character’, (Sekolah Berwatak).
ii) membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
iii) memperkasa jati diri murid, berketrampilan, berkeyakinan, berdaya saing dan berdaya pimpin.
iv) mewujudkan semangat pertandingan yang sihat dalam kalangan murid.
v) mewujudkan semangat kekeluargaan dan kekitaan ’sense of belonging’ dengan menanam perasaan “menyayangi yang muda, menghormati yang tua” di antara ahli Rumah.
Penilaian
Penilaian Sistem Rumah mengambil kira pencapaian murid dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan 3K (Keselamatan, Keceriaan dan Kebersihan). Pencapaian cemerlang oleh ahli Rumah akan diberi pengiktirafan manakala pencapaian yang tidak sampai ke tahap yang ditetapkan akan dikenakan penalti. Sistem ini akan mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam kalangan murid dengan menanamkan sifat ingin bertanding dan menyumbangkan sesuatu kejayaan bagi meningkatkan kecemerlangan Rumah.
Pengiktirafan
Kategori yang diberi pengiktirafan adalah seperti berikut ;
i. Rumah Terbaik Akademik
ii. Rumah Terbaik Kokurikulum
iii. Rumah Terbaik Sahsiah
iv. Rumah Terbaik 3K
v. Murid Terbaik Keseluruhan
vi. Rumah Terbaik Keseluruhan
Kemuncak kepada pengiktirafan ini, Majlis Anugerah Sistem Rumah akan diadakan pada setiap tahun untuk memberi penghargaan kepada rumah-rumah kediaman yang berjaya memenangi kategori-kategori tersebut yang dikira berdasarkan pencapaian sepanjang tahun.